Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Sabtu, 10 Mac 2012

ATM : Luqman Hakim mahu jadi panglima


Luqman Hakim ketika menerima pentauliahan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah baru-baru ini.


TERUJA melihat ketangkasan tentera mempertahankan kedaulatan negara telah membuka minat Luqman Hakim Sahar untuk mengorak langkah memasuki bidang ketenteraan.

Tanpa menoleh, pemuda kelahiran Kuala Lumpur itu tekad membulatkan hatinya mengejar impian untuk bergelar seorang tentera tanpa sedikit tercuit ketakutan seandainya terpaksa berjuang di medan perang.

Biarpun perjalanannya dalam angkatan tentera masih terlalu hijau, Luqman Hakim menanam cita-cita untuk bergelar Panglima Angkatan Tentera iaitu pangkat tertinggi ketenteraan suatu hari nanti.

Lantas segala kesusahan dan keperitan ditempuhi dengan tabah sepanjang lima tahun bergelar mahasiswa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan menganggap itu semua adalah ujian yang perlu ditempuhi untuk menggapai impian yang tertanam di sanubarinya.

Setiap masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempersiapkan diri sebelum diserap menjadi anggota tentera setelah menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kuasa) di UPNM.

Siapa sangka, dek kerana kesungguhan dan sanggup berkorban usia mudanya, pemuda berusia 24 tahun itu boleh tersenyum bangga apabila dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan pada Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet UPNM kedua yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah baru-baru ini.

"Alhamdulillah setiap pengorbanan saya selama lima tahun menghuni UPNM seolah-olah terbalas dengan pentauliahan ini. Sememangnya ia sesuatu yang di luar jangkaan memandangkan semua pegawai kadet yang ditauliah menunjukkan prestasi yang baik.

"Namun ini semua adalah langkah awal dan pembakar semangat untuk saya terus mengejar misi apabila mula berkhidmat dengan ATM nanti," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar sehari sebelum istiadat pentauliahan baru-baru ini.

Menceritakan pengalaman yang ditempuhi sepanjang berada di bawah naungan UPNM, anak ketiga daripada tujuh beradik itu memberitahu, perkara paling getir yang dilaluinya adalah untuk menyesuaikan diri dengan disiplin dan gaya hidup seorang tentera.

Tanpa berselindung, pemuda yang dibesarkan di Klang, Selangor itu menjelaskan, bukan mudah baginya yang dibesarkan jauh daripada kehidupan dan rutin ketenteraan untuk memenuhi amalan tentera yang dipraktik di UPNM.

"Tetapi itu bukanlah peluntur semangat malah ia membuatkan saya semakin kuat berusaha agar cita-cita untuk menyarung seragam hijau tercapai," ujarnya.

Beliau yang dianugerahkan sebilah pedang dan Piala Seri Angkasa pada istiadat pentauliahan itu menceritakan pengalaman dan langkah awal yang disusunnya sebelum menempa kejayaan yang diperoleh.

Katanya, minat untuk menjadi seorang anggota tentera telah tertanam di dalam dirinya sejak di bangku sekolah rendah lagi dan perjuangan anggota-anggota tentera zaman dahulu menjadi inspirasi kepadanya untuk terus menyambung legasi pertahanan negara pada masa depan.

"Oleh itu, bermula dari alam sekolah saya terus mendekatkan diri dengan badan beruniform dan pernah menyertai jambori peringkat kebangsaan,'' ujar Luqman yang ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Baginya, semangat, prinsip dan resipi kejayaan yang teguh di hatinya sepanjang menghuni UPNM akan terus digenggam erat untuk dibawa mengharungi kehidupan di dalam kem selepas ini.

"Saya akan terus dan pastikan apa yang akan dilakukan selepas ini adalah yang terbaik daripada saya.

"Biarlah orang mahu mengata saya berangan atau bermimpi tetapi langkah selepas ini adalah menuju ke puncak kepimpinan tertinggi ATM. Apa yang penting saya berusaha dan semua itu bergantung pada ketentuan-Nya," katanya.

Jelasnya, prinsip yang diterapkan oleh pengurusan universiti akan dipastikan terus tersemat di hati.

"Saya akan ingat apa yang diterapkan kepada saya sepanjang berada di universiti, di sini kami diajar dengan konsep 'dari budak lelaki kepada seorang lelaki dan dari seorang lelaki kepada seorang askar seterusnya kepada seorang pegawai'.

"Konsep itu akan saya pegang sampai bila-bila kerana ia akan mengingatkan saya tentang matlamat sebenar menyertai anggota tentera iaitu untuk berjuang mempertahankan maruah negara," jelasnya.

Luqman Hakim sempat memberitahu, pencapaian yang dicapainya sepanjang lima tahun di UPNM adalah pengalaman yang cukup istimewa buatnya.

''Itu semua adalah hadiah untuk keluarga terutama ayah dan ibu yang tidak pernah letih memberikan dorongan serta sokongan kepada saya,'' katanya.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "ATM : Luqman Hakim mahu jadi panglima"

Catat Ulasan