Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Isnin, 8 Oktober 2012

TLDM : Program pelupusan abu Al-Quran

PROGRAM PELUPUSAN ABU AL-QURAN PERINGKAT NEGERI PAHANG DI TAMBATAN PANGKALAN KUANTAN (TPK)


KUANTAN, 4 Okt – Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang merupakan wahyu diturunkan oleh Allah S.W.T secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril. Islam sebagai agama rasmi di Malaysia telah meletakkan kedudukan Al-Quran di tahap tertinggi serta dihormati. Salah satu inisiatif kerajaan adalah dengan mewujudkan Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 yang melindungi percetakan Al-Quran dari sebarang kesalahan dan kesilapan serta ketidakpatuhan terhadap prosedur pelupusan sisa atau bahan yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran. Oleh yang demikian, pihak Jabatan Mufti Negeri Pahang (JMNP) dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cawangan Negeri Pahang dengan bantuan beberapa agensi kerajaan telah menganjurkan program pelupusan abu Al-Quran peringkat Negeri Pahang dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya di negeri ini. Antara agensi-agensi yang terlibat adalah TLDM, APMM, PDRM, JAS Pahang, JAIP, MUIP, Jabatan Laut Wilayah Timur, MPK, Jabatan Penyiaran Pahang dan wakil-wakil media.

Program ini diadakan di TPK dengan dihadiri oleh Pengarah Kementerian Dalam Negeri Cawangan Pahang, Mufti Negeri Pahang, Panglima Wilayah Laut 1 dan pegawai-pegawai dari agensi terlibat yang dianggarkan seramai 140 orang. Para hadirin berkumpul seawal jam 8.30 pagi di Jeti Operasi TPK bagi mendengar taklimat keselamatan diikuti dengan laungan azan dikumandangkan oleh Kapten Ustaz Mohd Hilmi bin Tumpang dan bacaan doa sebelum pelayaran. Abu Al-Quran yang dianggarkan sejumlah 2 tan dibawa dengan kapal jenis Peronda Generasi Baru milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD PAHANG ke kawasan pelupusan pada jarak 7 batu nautika dari TPK untuk proses pelupusan di laut. Sidang media telah diadakan sejurus upacara pelupusan selesai dilaksanakan dan seterusnya para tetamu serta rombongan telah berpeluang merasai pengalaman makan tengahari di atas kapal dengan pelbagai hidangan yang disediakan. Kapal seterusnya tiba di TPK pada jam 1230H.

   

Program ini dilihat telah mencapai objektifnya iaitu menjaga dan melindungi kesucian kitab suci Al-Quran, memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan pelupusan abu Al-Quran yang mengikut prosedur dan mengukuhkan kerjasama antara agensi-agensi terlibat dalam usaha memartabatkan agama Islam. MAWILLA 1 berasa sangat bersyukur dan berbangga kerana dapat memberi sumbangan yang amat besar dalam menjamin kelancaran program ini. Program dan inisiatif  seperti ini wajar diteruskan di masa hadapan selain menjadi contoh kepada agensi-agensi di negeri-negeri lain di Malaysia.

   

Rujukan 051012/06
Sumber : Perhubungan Awam Markas wilayah Laut 1
read more...

TLDM : Wira TLDM pulang

SELAMAT PULANG HERO SEMPORNA - TAHNIAH LK I PPP (PKL) ESTINO TANIYU


Perenang solo Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M), Estino Taniyu, yang berjaya merentasi Selat Inggeris pada 21 September lalu, disambut sebagai wira oleh warga Semporna. Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 24 tahun itu menerima sambutan meriah daripada lebih 2,000 penduduk Semporna yang berkumpul di Kampung Bangau-Bangau, tempat kelahiran Estino.


Turut menyambut kepulangan Estino, yang mencipta rekod dengan renangan selama 13 jam 45 minit dan 45 saat, ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 


Estino menamatkan renangan solo anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia di Sandy Beach, Calaif, Perancis pada jam 10.20 malam (waktu Malaysia) selepas bermula di Dover Beach, United Kingdom pada 8.41 pagi (waktu Malaysia).  Shafie, menganggap Estino sebagai wira dan kejayaan beliau mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya menawan Selat Inggeris merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja kepada warga Semporna malah rakyat Sabah dan Malaysia, secara keseluruhan. 

"Ini satu catatan rekod yang amat memberangsangkan dan mengharumkan nama baik negara kita dan masyarakat Kampung Bangau-Bangau, Semporna ini. Saya penuh yakin, ini akan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak untuk tampil berbakti mengharumkan nama bangsa.  "Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada Estino, anak kampung yang dalam usia muda, 24 tahun berjaya mengharumkan nama baik negara kita. Ini adalah dorongan dan galakan yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku penaung Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia,"


Kejayaan Pandelela Renong meraih pingat gangsa di pentas Olimpik dan yang terbaru, oleh Estino, merupakan manifestasi kemampuan penduduk luar bandar mencapai kejayaan di pentas dunia, jika diberi peluang.  Estino begitu teruja dengan sambutan besar-besaran yang diberikan penduduk Semporna serta Shafie, dan berterima kasih kerana beliau sendiri tidak pernah menerima sambutan sebegitu rupa sebelum ini. 


Mengulas cabaran ketika berenang merentasi Selat Inggeris, Estino berkata, selain suhu air yang sejuk, arus laut serta kapal dagang yang lalu-lalang adalah rintangan yang perlu diatasi.  Bagaimanapun, katanya, dengan latihan mental dan fizikal mental, pengalaman sebagai anak kampung merangkap anak nelayan selain sokongan rakan sepasukan serta Angkatan Tentera Malaysia, beliau berjaya menamatkan renangannya dengan catatan masa yang baik.

read more...

TDM : Part 1 - Serang Hendap Di Ulu Kinta

October 8, 2012

Serang Hendap Di Ulu Kinta 

6/10/2012, Saya terima satu dokumen setebal 35 halaman melalui Pos Xpres. Ia mengenai Mejar Zainal Abidin bin Husin (B), xkomando. Saya mengenali beliau sejak MTD lagi. Beliau adalah dari pengambilan 13 Tauliah Jangka Pendek. Tatkala itu saya adalah 'senior cadet'. 

Mejar Zainal menceritakan versi kisah beliau yang terlibat dalam 'Ops Gonzales' pada April 1974 di kawasan Hutan Simpan Kinta, Perak. Menurut Mejar Zainal, ketika itu berpangkat Leftenan, beliau adalah Ketua No 9 Trup, 'Z' Skuadron, RGK. Trup tersebut telah diaturgerak ke Kem Tambun, Ipoh, dari Kem Sungai Udang dan diletakkan sebagai pasukan simpanan di bawah Panglima 2 Division.


Pada 18 April 1974, platun 9 dari 3 Renjer telah bertembung dengan segerombolan pengganas komunis (PK). Panglima Division membuat keputusan menghantar trup komando berkenaan untuk misi menjejaki dan memusnahkan musuh. Dengan 30 orang anggotanya bersama seekor anjing pengesan - 'Ben' - yang dikendalikan oleh Sarjan Chandan a/k Gaing dari Cawangan Anjing Perang, PULADA, mereka telah diterbangkan ke kawasan operasi dengan 2 buah pesawat Nuri pada jam 1600. Antara anak buah Lt Zainal ialah Lt M Anuwa bin Mohamad Daud, Kpl Zaki bin Nordin, Tpr Mohd Ali bin Ahmad, Tpr Hassanuddin, Tpr Ali dan Pbt Amin (Scout keturunan Orang Asli). Oleh kerana ketiadaan LP, mereka diturunkan melalui kaedah abseling.


Bertapak sahaja di bumi, mereka bergerak pantas dengan didahului oleh Ben dan pengendalinya. Ketika dalam pergerakan ini, mereka dimaklumkan PK telah bertempur pula dengan satu pasukan ronda dari 5 RAMD. Mengetahui insiden tersebut, para komando telah bergegas ke lokasi pertempuran. Namun demikian, pemburuan terpaksa dihentikan kerana waktu sudah malam.


Keesokan pagi, 19 April, No 9 Trup tiba di lokasi platun No 5 RAMD. Setelah mendapat maklumat daripada platun dan makan tengah hari, Lt Zainal meneruskan misi menjejaki PK. Beliau telah mengubah format pergerakan disebabkan pergerakan PK kini mudah dikesan. Pbt Amin ditugaskan merintis jalan, diikuti oleh Tpr Hassanuddin. Menurut Tpr Mohd Ali, terdapat beberapa jerangkap samar dipasang oleh PK. Nanum demikian, mereka tidak ditimpa sebarang kecelakaan angkara jerangkap samar.


Dalam rondaan melalui trek yang dibuat oleh PK, mereka tiba di 2 persimpangan; 1 lorong menuju ke kanan ke atas permatang, manakala 1 lorong ke kiri mengikuti lereng bukit. Lt Zainal telah membuat keputusan untuk memecahkan trup kepada 2 kumpulan. Beliau mengetuai kumpulan ke kiri dan Lt M Anuwa pula ditugaskan menjejaki musuh mengikuti permatang.


Format pergerakan Lt Zainal adalah seperti di rajah 1 berikut:


Kedudukan posisi anggota


 Pada jam lebih kurang 1500, semasa menyeberangi sebatang anak sungai untuk mendaki bukit, petikan Lt  Zainal  '...tiba-tiba kumpulan kami telah diserang hendap dengan dihujani peluru tembakan musuh yang berada di atas bukit kecil di sebelah kanan kami. Tindakan serta merta adalah untuk mencari benteng perlindungan daripada tembakan musuh. Saya berada dalam posisi meniarap dan berlindung di sebalik ketulan-ketulan batu. Tiba-tiba Sjn Chandan menjerit ke arah saya memberitahu yang anjing pengesan, Ben, telah terbunuh akibat tembakan musuh'. Jeritan Sjn Chandan, "Tuan, Ben dah mati kena tembak..." sambil berpaling ke arah kedudukan saya. Ianya telah menyebabkan pihak musuh mengarahkan tembakan bertubi-tubi ke arah posisi saya setelah mengetahui saya adalah ketua kumpulan. Pada masa yang sama, saya mendapati Pbt Amin telah tercedera terkena tembakan musuh (rajah 2).  Menurut Sjn Chandan, walaupun cedera parah, Ben sempat merangkak kepada 'bapanya' dan menghulurkan kakinya dan.....mati!!!


Kedudukan posisi anggota semasa diserang hendap
Bersambung....

PS: Sambungan kepada 'The Story Of A Soldier's Wife' di sini.

Kredit : http://xnuripilot.blogspot.com/2012/10/serang-hendap-di-ulu-kinta.html
read more...